Hutan Lipur Lata Bayu, Baling Kedah


Baling sebagai daerah yang kaya dengan hutan lipur menyegarkan, bukanlah asing bagi para pengunjungnya untuk bersantai dan berehat.

Antara kawasan rekreasi popular untuk beriadah bersama ahli keluarga adalah Hutan Lipur Lata Bayu, Asam Jawa yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Pekan Baling.

Ia menjadi pilihan ramai kerana persekitarannya nyaman selain dipenuhi pepohon hijau manakala air sungainya pula bersih, sejuk dan menyegarkan untuk mandi manda selain air terjun mendatar yang pasti menggamit perhatian pengunjung untuk merehatkan minda.

Di sebalik hutan tebal di pesisiran yang kaya dengan alam hutan menarik dan mendamaikan. Ingin merasai sejuknya air terjun di daerah Baling, selamat datang ke Lata Bayu. Rasa segar air bukit pasti membuatkan anda dan seisi keluarga bergembira di sini.




  • Kolam air bertingkat dan berbeza kedalaman.
  • Pondok-pondok gazebo untuk rehat seisi keluarga.
  • Dewan terbuka.
  • Padang untuk aktiviti berkumpulan.
  • Kedai makanan dan cenderahati
  • Tempat menyalin pakaian.
  • Surau
  • Tandas

 
 

Kedudukan Lata Bayu juga adalah strategik dan mudah untuk dikunjungi kerana ia terletak di tengah-tengah laluan perjalanan merentasi daerah ini dari pelbagai arah.

Contohnya, pelancong yang datang dari Sungai Petani boleh menggunakan jalan Kuala Ketil menuju ke Jalan Teloi Kanan dan terus Ke Parit Panjang dan Asam Jawa sehinggalah sampai ke destinasi Hutan Lipur Lata Bayu dengan mengambil masa selama 30 minit dari Kuala Ketil.

Pengunjung yang menggunakan Jalan Kuala Ketil Kupang pula boleh singgah di Batu 42 pusat beli belah Billion untuk membeli barangan keperluan sebelum ke simpang kiri ke Asam Jawa dan terus ke Hutan Lipur Lata Bayu dengan mengambil masa selama 45 minit.

Selain itu, mereka yang datang dari Gerik dan Pengkalan Hulu, Perak pula boleh melalui Pekan Baling menuju ke Batu 42, Pulai ke Jalan Sungai Limau terus Ke Asam Jawa dan menuju Hutan Lipur Lata Bayu dengan mengambil masa perjalanan selama 15 minit dari Pekan Baling.

Orang ramai dari Kulim pula boleh menggunakan lebuh raya menuju ke Pekan Kupang dan masuk persimpangan kiri sebelum ke Kompleks Rakan Muda melalui Jalan Sungai Limau terus ke Lata Bayu Asam Jawa dengan perjalanan dari Pekan Kupang mengambil masa selama 20 minit.